Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/presiden/41923-turki-berselindung-di-sebalik-topeng-yang-koyak
Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran:
وَلَن تَرۡضَىٰ عَنكَ ٱلۡيَهُودُ وَلَا
ٱلنَّصَٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمۡۗ قُلۡ إِنَّ هُدَى ٱللَّهِ
هُوَ ٱلۡهُدَىٰۗ وَلَئِنِ ٱتَّبَعۡتَ أَهۡوَآءَهُم بَعۡدَ ٱلَّذِي
جَآءَكَ مِنَ ٱلۡعِلۡمِ مَا لَكَ مِنَ ٱللَّهِ مِن وَلِيّٖ وَلَا نَصِيرٍ
(١٢٠ البقرة)
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak
akan senang kepada kamu hingga kamu mengikut agama mereka. Katakanlah:
“Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)”. Dan
sesungguhnya jika kamu mengikut kemahuan mereka setelah pengetahuan
datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong
bagimu.” (Surah Al-Baqarah: ayat 120)
Sebaik sahaja gagalnya rampasan kuasa di
Turki oleh segelintir tentera yang mengaturnya, keseluruhan negara
barat, termasuk negara Islam yang berada di bawah ketiaknya yang busuk
itu membuat kenyataan menyokong kerajaan Turki yang dipilih secara
demokrasi, dengan peringatan supaya menghormati undang-undang dan hak
asasi manusia, termasuk tidak menjatuhkan hukuman bunuh terhadap mereka
yang nyata terlibat dengan rampasan kuasa yang telah terkorban dibunuh
dan cedera ditembak.
Beberapa minggu dan bulan sebelum
rampasan kuasa, beberapa media barat menyiarkan penulisan yang
menyatakan kebimbangan dan keraguan terhadap Presiden Turki, Recep
Tayyip Erdogan yang dianggap melakukan perubahan yang dikira ancaman dan
bahaya oleh mereka khususnya kembali kepada Islam dan mengubah kiblat
politiknya dalam hubungan antarabangsa.
(merujuk kepada Foreign Afairs 30 Mei, Foreign Policy 15 Jun, New Yorks Times 5 Julai)
Perlu diketahui senario dahulu yang
diulang lakonannya, betapa kuasa besar barat yang berjaya menumbangkan
kerajaan Uthmaniyyah di awal abad yang lalu, setelah berjaya
mengkhadamkan pemerintah umat Islam yang berpeluang mendapat kerusi
berkuasa memerintah negara tanpa hala tuju Islamnya, di samping Kerajaan
Uthmaniyyah yang sangat uzur itu berjaya ditumbangkan, sehingga tanah
air umat Islam dijajah, dipecah dan diperintah, rakyatnya diabdikan,
hartanya rompak.
Setelah berjaya meletakkan Kamal Atartuk
yang ditabalkan sebagai “Bapa Turki” moden dengan menyingkirkan Islam
dan melanyaknya habis-habisan, sehingga dimasukkan ke dalam buku teks di
seluruh negara jajahan termasuk negara kita supaya mengagungkan Kamal
Atarturk.
Kamal Atartuk seorang ketua tentera
diktator disanjung oleh barat sebagai seorang yang paling demokrasi
dengan perlindungan istimewa melalui perlembagaan Turki yang dipilih
anggotanya secara pilihan raya bebas dan demokratik, telah meletakkan di
dalam perlembagaan Turki, prinsip dan konsep sekularisme yang
mengharamkan politik Islam dengan apa cara sekalipun.
Sesiapa sahaja pemimpin yang hanya
mencuba untuk memasukkan agenda Islam dalam kerajaannya mewajibkan
tentera mengambil alih kuasa dengan perlindungan perlembagaan, inilah
demokrasi ala Turki. Maka, sesiapa yang mahu memakai jenama Erdogan di
Malaysia mesti membaca dan memahaminya.
Di awal tahun 50-an, Ali Adnan Menderes,
seorang tokoh ilmuan Turki (peguam) keluar daripada Parti Kamal
Atarturk (Parti Republik Rakyat) dan menubuhkan Parti Demokrat
berdasarkan sekularisme mengikut undang-undang Turki.
Parti ini mencapai majoriti besar dalam
Pilihanraya Umum 1954 dan Adnan dilantik menjadi Perdana Menteri, beliau
berjaya meningkatkan ekonomi Turki dalam aspek pertanian sehingga
menjadi negara pengeksport pertanian besar ke pasaran Eropah, dengan
mendapat sokongan besar daripada rakyat.
Tiba-tiba tentera dipimpin oleh General
Jamal Jorsel merampas kuasa Adnan bersama Menteri Luar Potin Rusydi
Zoghlo dan Menteri Kewangan Hasan Pulatkan dijatuhkan hukuman bunuh,
kerana dituduh mengheret Turki kepada Islam. Semua negara barat berdiam
diri apabila Islam menjadi mangsanya.
Selepasnya, muncul pula Profesor
Najmuddin Erbakan tokoh jurutera, pencipta jentera berat di Jerman,
khususnya menggunakan diesel. Beliau pulang ke Turki pada tahun 1960,
sehingga berjaya melahirkan 300 orang pakar jentera dan Turki dapat
mengeluarkan 30,000 buah jentera diesel setahun, menjadikannya tokoh
yang sangat dihormati di Turki.
Seterusnya, beliau masuk ke alam politik
menubuhkan Parti Kebangsaan Turki. Selepas sembilan bulan parti ini
diharamkan kerana amaran panglima tentera General Muhsin Batur
disebabkan lantangnya bersuara Islam.
Tahun 1972, Profesor Erbakan menubuhkan
Parti Selamat Negara dan berkerjasama dengan Parti Artaturk, sehingga
dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri, sehingga juga berjaya
mengheret Turki menyerang Cyprus bagi menyelamatkan umat Islam yang
dibunuh oleh Kristian Ortodok Greece dan memulihkan hubungan Turki
dengan negara Islam, serta berjaya mengharamkan Pertubuhan Fremasson
yang mendukung perjuangan yahudi, seterusnya menyokong perjuangan Rakyat
Palestin. Akhirnya, Jeneral Kanan Ivreen merampas kuasa kerana
menyelamatkan sekularisme Turki. Profesor Erbakan ditahan dan diharamkan
berpolitik.
Ketika beliau masih dikenakan tahanan
rumah pada tahun 1983, saya berkesempatan berkunjung ke rumahnya dan
mengenali Profesor Erbakan, selepasnya terjalin hubungan yang sangat
akrab dan sering kali mengajak saya mengiringinya dalam lawatan
antarabangsa.
Pada tahun 1992, Profesor Erbakan yang
masih diharamkan berpolitik menubuhkan Parti Refah (kemakmuran) dengan
dipimpin oleh Profesor Ahmad Tekdal.
Pada tahun 1996, Parti Refah mencapai
kemenangan bersama Parti Toreliq Qawim (Jalan Betul). Kerjasama yang
mencapai kemenangan menubuhkan Kerajaan Campuran, akhirnya Profesor
Erbakan dilantik menjadi Perdana Menteri.
Beliau mengambil langkah menubuhkan D-8,
iaitu gabungan lapan buah negara umat Islam bersama Iran, Mesir,
Pakistan, Nigeria, Indonesia, Malaysia dan Bangladesh. Mewujudkan
kerjasama ekonomi dan lain-lain.
Adapun Recep Tayyip Erdogan berjaya
menang sebagai Datuk Bandar Istanbul, dan akhirnya tentera memaksa
Profesor Erbakan meletakkan jawatan dan Parti Refah diharamkan juga,
akibatnya juga Profesor Erbakan dan beberapa pemimpin termasuk Erdogan
dipenjarakan. Setelah dibebaskan, Profesor Arbakan tidak dibenarkan
berpolitik sehingga meninggal dunia pada 27 Februari 2011.
Pengikut tegar Profesor Erbakan
menubuhkan Parti Saadat dengan meneruskan pendekatannya. Adapun Recep
Tayyip Erdogan dan Abdullah Gol menubuhkan Parti Adalat dengan dasar
yang lebih ekstrem berterus-terang sekularnya sehingga mengadakan
perjanjian tidak melaksanakan Islam di hadapan para jeneral tentera,
meneruskan hubungan dengan Israel dan barat, sehingga memenuhi segala
syarat untuk menjadi anggota Kesatuan Eropah (EU) namun tidak diluluskan
juga.
Langkah yang dimarahi oleh gurunya
Profesor Erbakan, namun Erdogan memekakkan telinga terhadap gurunya
tanpa menjawab. Langkah Erdogan membebaskan dakwah dan kegiatan masjid,
serta berterus-terang menyokong Palestin, dalam masa yang sama mencipta
keadaan memulihkan hubungan dengan Israel, sehingga mendedahkan diri
kepada kritikan yang keras daripada dalam dan luar, tetapi tidak
mendapat kepercayaan barat dan sekutu-sekutunya.
Bahkan, polisi barat mengepung Turki
terlibat dengan krisis negara jirannya, dan sekutu barat menguatkan
ancaman pemberontak komunis Kurdis, dan mencipta tembakan Turki ke arah
pesawat Rusia dan lain-lain.
Barang kali kerana Erdogan dan
rakan-rakan yang akrab dengannya tetap bersolat dan beramal dengan cara
hidup seorang Islam, isteri-isteri mereka berjilbab dalam majlis rasmi
pun tetap menjadi teguran yang keras daripada golongan sekular, walaupun
di atas konsep demokrasi dan hak-hak asasi manusia terhadap
masing-masing.
Akhirnya merobekkan topeng barat yang
menipu dan berpura-pura terhadap umat Islam di sepanjang masa,
menunjukkan prejudis, oportunis, “double-standard”, hasad dan lain-lain
sifat lagi yang sangat negatif terhadap Islam, walaupun Islam dan
penganutnya sangat berbudi dan berbahasa terhadap mereka, sejak zaman
keemasan tamadun Islam sehinggalah zaman menjadi sasaran kezaliman
mereka, dengan penjajahan, perhambaan, sehinggalah dijadikan mangsa
pembunuhan perebutan kuasa dan ujian senjata.
Umat Islam terus menjadi sasaran fitnah
kerana agamanya. Demokrasi, hak asasi manusia, kebebasan yang sebenar,
keadilan yang saksama hanya ungkapan manis yang tidak dirasa kalau
berbau Islam sahaja. Semua kemenangan parti yang berteraskan Islam atau
ada tanda-tanda menuju ke arah Islam tanpa mengira bangsa dan mazhab
tetap dinafikan.
Sejarah kemenangan Masyumi di Indonesia
di tahun 50-an diguling dan diharamkan, kemenangan Mujahidin Afghanistan
menghalau Soviet dikacaubilaukan sehingga mencetuskan huru-hara yang
tidak padam sehingga kini, begitu juga kemenangan Parti Islam FIS di
Algeria hanya dalam pilihan raya Majlis Perbandaran dirampas kuasa dan
diharamkan secara terbuka, menjatuhkan Presiden Mursi di Mesir dengan
dramanya yang tersendiri, sikap barat terhadap Revolusi Islam bermazhab
Syiah di Iran juga dipulau dengan fatwa negara barat sehingga menyekat
segala usahanya menyatukan umat menentang Israel dan lain-lain.
Kini giliran Turki dengan pendekatan
Erdogan yang dinafikan Islamnya secara undang-undang yang merumitkan,
dilakukan rampasan kuasa tentera yang diulang senarionya tiba-tiba
menemui kagagalan. Sebaik sahaja beritanya tersebar, dapat disaksikan
betapa negara penjajah dan sekutunya menunggu dan lihat siapa yang
menang.
Kecuali Mesir yang menyokong rampasan
kuasa gagal itu secara berani kerana mengikut sunnahnya, sehingga lebih
ke hadapan daripada Israel yang membisu.
Semua negara barat terkini mendesak
supaya Turki menghormati undang-undang tidak menjatuhkan hukuman mati
oleh mahkamahnya nanti ke atas mereka yang nyata terlibat dalam rampasan
kuasa yang gagal itu, sedangkan mereka boleh melakukan pembunuhan
kerana perbezaan warna kulit membunuh beramai-ramai menyerang
Afghanistan dan Iraq kerana khabar angin adanya senjata merbahaya atau
adanya seorang sahaja yang diburu seperti Osama bin Laden, Saddam
Hussin, Muammar Ghadafi atau Ayatullah Khomeini dan sebagainya,
sebaliknya melindungi Salman Rusydi dan rakan-rakannya tanpa mahkamah
dan bukti yang kukuh.
Mereka juga memejam mata terhadap
pembunuhan rakyat Palestin, Rohingya dan terakhirnya hukuman mati ke
atas para pemimpin Jamaat Islami di Bangladesh kerana kesalahan tidak
menyokong perpecahannya daripada Pakistan setelah berlalunya masa lebih
empat puluh tahun.
Perlu diperkenalkan tiga tokoh yang
menggagalkan rampasan kuasa Turki, mereka bersama Erdogan, mereka ialah,
Perdana Menterinya Binali Yildirim, Pemangku Penglima tentera yang
memimpin operasi menentang pemberontakan, Jeneral Omet Dawardar dan
Ketua Perisikan, Jeneral Dr Hakan Fidan.
Kali ini diharapkan jeratnya tidak mengena, laksana ayamnya terlepas, tangan berbau najis.
Benarlah firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 109:
وَدَّ كَثِيرٞ مِّنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَٰبِ
لَوۡ يَرُدُّونَكُم مِّنۢ بَعۡدِ إِيمَٰنِكُمۡ كُفَّارًا حَسَدٗا مِّنۡ
عِندِ أَنفُسِهِم مِّنۢ بَعۡدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ ٱلۡحَقُّۖ فَٱعۡفُواْ
وَٱصۡفَحُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِيَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ
كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٞ (١٠٩البقرة.)
“Banyak di antara ahli kitab menginginkan
sekiranya mereka dapat mengembalikan kamu kepada kekafiran setelah kamu
beriman, kerana rasa dengki dalam diri mereka, setelah kebenaran jelas
bagi mereka. Maka maafkanlah dan biarkanlah mereka, sampai Allah
mendatangkan perintah-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala
sesuatu.”
“BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
16 Syawal 1437 / 21 Julai 2016 – HARAKAHDAILY 21/7/2016
Presiden PAS
16 Syawal 1437 / 21 Julai 2016 – HARAKAHDAILY 21/7/2016