Friday, December 4, 2015

Found a way to get my Adelaide self back : SAYA BAKAL JENAZAH

 Hidup lebih tenang, insaf diri bila ingatkan mati


Kebanyakan Muslim hari ini tidak lagi menghiraukan urusan mengingati mati sehingga ada beranggapan kematian tidak penting. Lebih parah lagi, apabila lahir keadaan masyarakat seperti sudah tidak mahu mempelajari hakikat kematian dan aspek keimanan yang lain.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Sesungguhnya akan disempurnakan pahala kamu pada hari kiamat. Barang siapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasuk ke syurga, menanglah dia. Tidaklah kehidupan dunia ini, melainkan kesenangan yang memperdayakan.” (Surah Ali-Imran, ayat 185)


Mengingati mati bukan saja menimbulkan rasa sesal di atas dosa dilakukan, malah ia boleh melahirkan ketakutan untuk meneruskan perbuatan yang dilarang Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda: “Perbanyakkanlah mengingati mati yang akan menghapuskan kelazatan. Jika ia diingati dan direnung pada waktu susah, nescaya perasaan akan menjadi lapang, tenang dan jika ia diingati pada waktu senang, nescaya hati dan perasaan akan sedar dan menginsafi diri.” (Riwayat al-Bazzar dan al-Baihaqi)

Nabi Muhammad SAW apabila ditanya siapakah yang paling bijak, lantas Baginda menjawab: “Orang yang bijak ialah yang paling banyak mengingati mati dan paling kuat bersedia menempuh kematian.”

Bersedia hadapi kematian

Sebagai Mukmin beriman, kita hendaklah sentiasa berusaha membuat persediaan menghadapi kematian. Segala amal kebaikan hendaklah dilakukan sebanyak mungkin kerana kita tidak tahu apakah keesokan hari kita masih diizinkan oleh Allah SWT mengecap kenikmatan dikecapi ini.

Bayangkan jika kita ‘dijemput’ Allah SWT ketika sedang berseronok dengan nikmat dunia yang begitu melalaikan. Masa itu kita merayu, menangis, merintih atau berteriak sekalipun untuk dihidupkan kembali semua tiada guna lagi.
Menurut Imam Al-Ghazali, terdapat dua golongan manusia ketika berhadapan dengan kematian. Golongan pertama adalah yang tenggelam dengan dunia, hiburan serta kemewahan. Mereka takut dengan mati kerana terlalu kasih dan cintakan dunia.

Kerja dunia dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan bermati-matian, tetapi amal ibadah dibuat ala kadar saja. Soal menutup aurat dianggap remeh. Golongan ini juga susah untuk dilihat di masjid mahupun majlis ilmu, tetapi begitu senang dilihat di pesta hiburan yang melalaikan.

Sementara golongan kedua pula yang apabila terdengar berita atau tazkirah mengenai kematian, pasti akan timbul rasa takut dan bimbang nasib di alam kubur. Kesannya mereka akan bertaubat dan berusaha menjauhkan diri daripada maksiat.

Pada masa sama, mereka tidak meninggalkan dunia kerana mengingati mati itu menjadikan mereka sangat mengambil berat mengenai ibadah dan ilmu pengetahuan. Hasilnya, mereka memahami erti Islam sebenar yang menggalakkan umatnya untuk bekerja dunia dan akhirat.

Rasulullah SAW bersabda: “Perbanyakkanlah mengingati mati yang akan menghapuskan kelazatan. Jika ia diingati dan direnung pada waktu susah, nescaya perasaan akan menjadi lapang, tenang dan jika ia diingati pada waktu senang, nescaya hati dan perasaan akan sedar dan menginsafi diri.” (Riwayat al-Bazzar dan al-Baihaqi)

No comments: